Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kongsi

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kongsi

Kebakaran waktu tengah hari itu membabitkan rumah kongsi pekerja lapan pintu jenis tidak kekal, dan mayat mangsa ditemui pada jam 2.25 petang.

Mayat yang rentung ditemui pasukan bomba selepas api berjaya dipadamkan. (Gambar Bomba)
KUNAK:
Seorang lelaki rentung selepas rumah kongsi pekerja didiaminya di Lorong 7, Kunak Jaya, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Suwardi Allu, 64, dipercayai terperangkap di dalam rumah terbabit ketika api sedang marak.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah kongsi pekerja lapan pintu jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke blok ketiga yang terletak berhampiran dua blok yang sedang terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 1.07 petang dan operasi pemadaman diteruskan sehingga mayat mangsa ditemui pada jam 2.25 petang.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada keberbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.22 petang.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.