Kereta api tak berhenti 100 pelajar terkandas, KTMB gantung tugas kakitangan

Kereta api tak berhenti 100 pelajar terkandas, KTMB gantung tugas kakitangan

Menurut KTMB kejadian itu melibatkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi tadi.

Menurut KTMB tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan bagi menjamin insiden yang sama tidak akan berulang. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah di atas insiden tren tidak berhenti untuk mengambil pelajar di hentian Kuala Gris, di sini hari ini.

KTMB menerusi satu kenyataan mengesahkan kejadian itu melibatkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi dan hasil siasatan mendapati tren tersebut tidak berhenti di hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi tadi.

“KTMB memandang serius dan kesal dengan kejadian tersebut terutama melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan pada Ahad,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Sinar Harian.

Justeru, KTMB memaklumkan kakitangan yang terlibat telah digantung tugas.

“Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris, Kuala Krai terkandas apabila kereta api yang sepatutnya tiba jam 7 pagi tadi tidak berhenti di hentian tersebut.

Selepas menunggu 30 minit di hentian tersebut mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah pada hari pertama ini.

Difahamkan, pelajar terpaksa menaiki kenderaan sejauh 10km yang akan mengambil masa 25 minit berbanding menaiki kereta api hanya 17 minit jika mahu ke sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.