
Bertentangan dengan dakwaan ahli politik bahawa ini dilakukan bagi mempertahankan hak etnik, parti-parti yang ditubuhkan sebenarnya boleh menjurus kepada ketidakstabilan, bukan perpaduan, kata penganalisis politik Tony Paridi Bagang, pensyarah kanan di UiTM Sabah.
“Komuniti KDM dan Dayak akan lebih berpecah-belah. Persaingan antara etnik akan berlaku dan membawa kepada ketidakstabilan dan perpecahan. Akhirnya, komuniti-komuniti ini yang akan rugi,” katanya kepada FMT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Peter Anthony, yang sebelum ini menganggotai Warisan, mengumumkan beliau akan membentuk sebuah parti baharu berasaskan KDM yang mesra dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, ironik bagi ahli politik Sabah menggunakan alasan perpaduan etnik. Dengan adanya lebih banyak parti, ia akan memberi kesan sebaliknya, katanya.
“Namun hakikatnya, setiap ketua parti ini mahu menjadi pemimpin komuniti. Hampir semua parti baharu mendakwa diri mereka penyelamat yang mahu menyatukan KDM, tanpa menyedari ini akan memecahbelahkan komuniti,” katanya kepada FMT.
Ahli politik mahu selamatkan kerjaya
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mengaitkan pertumbuhan mendadak parti-parti ini dengan keinginan ahli politik untuk memaksimumkan prospek kerjaya mereka.
“Dengan memiliki parti sendiri dan mungkin beberapa kerusi Parlimen atau DUN, anda berada dalam kedudukan untuk tawar-menawar bagi lebih banyak kerusi Jemaah Menteri atau keistimewaan lain bagi diri sendiri dan pengikut sebagai syarat menyertai gabungan pemerintah,” katanya.
“Ahli politik persekutuan tidak kisah tentang kemunculan pesat parti-parti ini di Malaysia Timur, kerana ia sesuai dengan tujuan pecah dan perintah mereka.”
Paridi berkata, terdapat persaingan antara etnik dalam kalangan kumpulan peribumi: komuniti KDM terdiri daripada lebih 42 kumpulan etnik dan sub-etnik, manakala Dayak terdiri daripada Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain.
Lee berkata, ahli politik membentuk parti baharu untuk menyelamatkan kerjaya politik mereka, menjadi pemimpin, atau mencari platform baharu susulan pertikaian dengan parti terdahulu.
Kemunculan parti baharu tidak akan memberi kesan ketara kepada politik kedua-dua negeri itu, katanya. Pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020 dan di Sarawak baru-baru ini, segelintir calon daripada parti-parti kecil kehilangan wang deposit.
Terdapat 9 parti tempatan yang aktif di Sarawak dengan tiga daripadanya berasaskan peribumi. Di Sabah, enam parti mewakili kumpulan peribumi walaupun mendakwa ia berbilang kaum.