
IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata prosedur yang dijalankan oleh sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya semalam, berjalan dengan lancar seperti dirancang.
“Beliau telah sedar dan bersemangat tinggi. Berdasarkan kepada perkembangan semasa klinikal, beliau dijangka dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan IJN itu.
Bekas perdana menteri itu dimasukkan ke IJN pada 16 Dis tahun lepas untuk menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan dan pemerhatian lanjut sebelum melalui prosedur berkenaan.
Berikutan prosedur operasi institusi itu, IJN memaklumkan pelawat tidak dibenarkan melawat Mahathir.
“Dr Mahathir dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala ucapan selamat, keprihatinan dan doa daripada orang ramai,” menurut kenyataan itu.