
Brian Bouffard, peguam utama dilantik kerajaan AS untuk mewakili Mohammed Nazir Lep berkata, pasukannya sedang menyelesaikan beberapa isu berkaitan perbicaraan itu, namun apa yang penting adalah memastikan prosiding adil secepat mungkin.
“Amerika amat arif dalam memastikan perbicaraan adil. Kami melakukannya setiap hari di mahkamah awam dan tentera.
“Saya tidak dapat terima bahawa kami tidak mampu memastikannya untuk tahanan di Guantanamo Bay. Jadi kami tidak akan mengalah dalam perjuangan memastikan hak dan maruah Nazir terpelihara,” katanya dalam emel kepada FMT, apabila disoal mengenai perjalanan perbicaraan itu.

Nazir bersama Mohammed Farik Amin dan warga Indonesia Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali, menghadapi lapan tuduhan keganasan.
Ini termasuk tujuh berkaitan serangan bom berkembar di Bali yang meragut 202 nyawa pada Oktober 2002, dan di Hotel JW Marriott Jakarta pada Ogos 2003.
Lapan tuduhan itu melibatkan dakwaan subahat, bunuh, cubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan serius, keganasan, menyerang orang awam, menyerang barangan awam, dan memusnahkan harta benda.
Sementara itu, Bouffard berkata pejabat Suruhanjaya Tentera AS menetapkan seminggu mulai 28 Feb untuk perbicaraan seterusnya. Bagaimanapun beliau tidak pasti apa subjek prosiding yang bakal diadakan itu.
“Kami tidak pasti susulan penolakan kerana permohonan kami untuk pembacaan pertuduhan dengan membatalkan yang terdahulu, disebabkan jurubahasa tidak kompeten. Saya menjangka kes ini akan mengambil masa lama,” katanya.