
Exco Johor itu berkata, beliau masih lagi memegang jawatan Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan ahli Bersatu walaupun sebelum ini namanya turut terpalit dengan pelbagai khabar angin menjadi ADUN Bebas.
“Setakat hari ini, saya masih ahli Bersatu dan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang macam-macam. Saya boleh ‘jadi apa saja’ dalam khabar angin itu.
“Politik ini kita tidak tahu apa jadi akan datang. Hari ini jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh boleh jadi kawan. Dalam perlembagaan kita ada hak kebebasan untuk sertai apa juga parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai apa juga parti,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mazlan turut menolak khabar angin PRN Johor akan diadakan dalam masa terdekat kerana keadaan politik di negeri itu amat stabil kecuali ada hal yang diluar jangka berlaku.
“Namun setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri.
“Apa yang baik di Johor ini kita dapat kerjasama yang baik dari pembangkang apatah lagi kita masih dalam pandemik Covid-19,” katanya.
Khabar angin Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri mahu mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas, bertiup kencang kebelakangan ini selepas pemergian ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar, Osman Sapian, 21 Dis lepas.
Ketika ini, barisan kerajaan Johor memiliki kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 28, berbanding pembangkang yang memiliki 27 kerusi DUN ketika ini.
Khabar angin itu menjelma susulan timbul dakwaan DUN Johor mungkin dibubarkan bagi membolehkan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat.