
Dalam kejadian jam 5 petang itu, lelaki berusia 39 tahun yang memandu lori muatan pasir seberat 22 tan dalam perjalanan dari arah Hulu Langat ke Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika mahu berhenti di persimpangan lampu isyarat dipercayai hilang fungsi brek lalu melanggar dua kereta dan sebuah motosikal yang diparkir di rumah kedai Sri Bayu.
“Kemalangan itu tidak mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa kepada orang awam serta pemandu terbabit, hanya kenderaan alami kerosakan.
“Berikutan kejadian, pemandu lori dibawa ke Balai Trafik Ampang Jaya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Harian Metro.
Katanya, keputusan saringan awal air kencing mendapati pemandu lori terbabit positif dadah jenis methamphetamine, selain semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Farouk meminta saksi bebas tampil menyalurkan maklumat mengenai kejadian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ampang Jaya, Navine Gunasegaran di talian 012-6436327.