
Ia berpendirian bahawa pembayaran tambang penerbangan adalah pilihan, walaupun memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Bangladesh menyatakan majikan wajib membayarnya.
Setiausaha Agung persatuan itu, Chin Chee Seong, berkata dokumen itu bukanlah perjanjian yang mengikat. Majikan tempatan boleh berunding dengan agensi pengambilan mengenai perkara ini, bergantung kepada keperluan mendesak bagi pekerja asing dalam syarikat mereka, katanya.
“Jika PKS memerlukan pekerja segera dan mampu membayar (tambang), mereka akan meminta agensi pengambilan di Dhaka untuk menyegerakan perkara itu. Namun bagi orang lain yang boleh menunggu, ejen akan meminta pekerja membayar tambang penerbangan mereka sendiri,” katanya kepada FMT.
Malaysia telah memansuhkan pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh yang dikenakan pada 2018 dengan MoU baharu yang ditandatangani kedua-dua negara pada 19 Dis.
Chin berkata, majikan akan menanggung semua kos dokumentasi selepas ketibaan di Malaysia, berjumlah kira-kira RM4,385 bagi setiap pekerja.
“Ini akan menjadi beban besar kerana kami sedang cuba pulih daripada masalah yang disebabkan Covid-19. Kami tiada pilihan selain bersetuju dengan perkara ini, seperti yang terkandung dalam MoU.
“Disebabkan kekurangan tenaga kerja tempatan, kami amat memerlukan (pekerja asing). Bagaimanapun, kebanyakan majikan berharap bayaran ini dapat dikurangkan,” katanya.
Bayaran tersebut termasuk kos levi, visa, pemeriksaan perubatan dan ujian Covid-19, jaminan insurans kesihatan, kos kuarantin dan kad SIM telefon bimbit.
Salinan MoU yang dilihat oleh FMT menyatakan bahawa majikan bertanggungjawab ke atas tambang penerbangan pergi balik dari Dhaka ke Kuala Lumpur, dan perbelanjaan bagi perkhidmatan lain. Kementerian pekerjaan luar negara Bangladesh juga menyatakan bahawa laluan bebas ke dan dari Malaysia akan disediakan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Kam Lian Hooi berkata, majikan tiada alternatif lain selain mematuhi kebanyakan klausa dalam MoU itu.
“Majikan telah lama mengadu meminta pekerja, terutamanya memandangkan lonjakan tempahan baru-baru ini selepas pelaksanaan sekatan yang berlanjutan di Malaysia,” katanya.
Chin berkata, majikan memohon kelonggaran dalam memenuhi syarat elaun tidak boleh dimasukkan dalam gaji minimum RM1,200.
“Kami menyeru agar lebih fleksibiliti dibenarkan dalam penguatkuasaan dan majikan diberi tempoh masa yang munasabah untuk mematuhinya.
“Kebanyakan majikan hanya boleh membayar gaji minimum pada akhir bulan dan elaun kemudian, bergantung kepada kewangan syarikat,” katanya.