1,864 babi di ladang Paya Mengkuang positif ASF dimusnah

1,864 babi di ladang Paya Mengkuang positif ASF dimusnah

Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar memusnahkan babi yang disahkan dijangkiti ASF di Paya Mengkuang, Melaka.
MELAKA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Norlizan Mohd Noor, berkata bagi mengawal dan mencegah penyakit ASF daripada merebak, JPV menguatkuasakan “stamping out policy” menerusi pemusnahan babi ladang yang disahkan positif ASF.

“Pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Sehingga semalam sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu juga telah dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan.

Norlizan berkata, aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan melibatkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.

“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03 88702041),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.