
Azam, yang didakwa memiliki dua juta saham dalam syarikat senaraian awam, semalam “dibersihkan” daripada sebarang salah laku susulan kenyataan Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang bahawa akaun dagangan Azam digunakan adiknya, Nasir, bagi tujuan pembelian saham.
Dalam sidang media bersama dengan enam Ahli Parlimen pembangkang, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata, terma rujukan tidak memberi mandat kepada LPPR menyiasat atau membersihkan mana-mana individu dalam SPRM daripada salah laku.
“Bagaimana boleh lembaga penasihat mempunyai kuasa menyiasat seseorang dan kemudian membersihkan dakwaan salah laku?
“Mereka hanya boleh menasihat. Jadi, bagi mereka mengatakan beliau (Azam) tidak melakukan salah laku adalah tidak tidak betul,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah.
Terdahulu, veteran DAP Lim Kit Siang berkata, keputusan LPPR membersihkan Azam daripada sebarang salah laku disifatkan “ultra vires” dengan Akta SPRM 2009.
“Seksyen 13 Akta SPRM 2009 memperuntukan enam fungsi LPPR dan tiada satu pun memberi kuasa kepada mereka membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Selain berfungsi menasihatkan SPRM dalam pelbagai aspek rasuah seperti dasar dan strategi, lembaga berkenaan juga menerima, meneliti dan melakukan syor daripada SPRM demi pengurusan kecekapan dan efektif agensi terbabit.
LPPR juga boleh meneliti dan melakukan syor sumber diperlukan SPRM bagi menjamin kecekapan, meneliti laporan tahunan SPRM sebelum dihantar ke Jawatankuasa Khas Rasuah dan mengemukakan ulasan kepada jawatankuasa berkenaan berhubung fungsi untuk dilaksanakan oleh agensi itu mengikut peruntukan terkandung dalam akta.
Lim ketika mengulas lanjut berkata, beliau sedih melihat SPRM melalui krisis kepercayaan ketika ini.
Kenyataan Lim itu senada dengan Sim dalam sidang medianya, dengan menyatakan skandal “Azamgate” menjadi “ujian besar” di negara ini. Wakil DAP itu berkata, skandal yang berlaku juga adalah ujian genting dihadapi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinannya dalam menentang rasuah.
Dalam pada itu, Hassan turut mempersoalkan sikap berdiam diri Ismail berhubung isu berkenaan dan menyatakan Perdana Menteri perlu “berdepan kontroversi”, termasuk menjamin siasatan polis dibuat dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat keputusan sama ada membawa kes Azam ke mahkamah atau tidak.
Mengakui pelantikan Azam dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Hassan berkata, Azam perlu menjawab kepada Ismail – bukan LPPR atau Abu Zahar.
Azam yang sebelum berdiam diri, akhirnya membuka mulut semalam, menyatakan beliau sudah berdepan dengan lembaga penasihat dan mengemukakan perincian menjelaskan isu berbangkit terhadap dirinya.
Katanya, beliau tidak memberi maklum balas sebelum ini berhubung dakwaan dibangkitkan kerana berpandangan dirinya tidak melakukan kesalahan dengan menegaskan, beliau “hanya bertanggungjawab” kepada lembaga berkenaan sahaja.