
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan perintah itu pagi ini selepas mahkamah diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, yang sepatutnya meneruskan keterangan tidak dapat hadir kerana demam.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan telah cuba memanggil saksi lain, iaitu juruaudit KPMG Johan Idris, bekas pegawai Najib Wan Ahmad Shihab Wan Ismail, bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail, serta bekas setiausaha syarikat Lim Poh Seng dan Goh Gaik Kim bagi menggantikan Azmi.
“Bagaimanapun Johan berada di London dan hanya boleh didapatkan selepas 29 Jan. Wan Shihab mengalami cirit-birit dan Ismee sedang dikuarantin,” katanya.
“Poh Seng mempunyai janji temu mendapatkan dos penggalak hari ini dan Gaik Kim berkata, beliau perlu menghadiri beberapa mesyuarat. Saya cuba memintanya membatalkan mesyuaratnya tetapi katanya, ia penting.”
Sequerah berkata, beliau menghargai percubaan pihak pendakwaan untuk memanggil saksi lain pada saat-saat terakhir sambil menambah, “ia bukan salah anda”.
“Saya akan tangguhkan prosiding ini sehingga 2.30 petang dan (anda) cuba sedaya upaya mendapatkan orang lain. Ada lebih 50 saksi dalam senarai itu,” katanya.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.