Umno tolak PN bukan pengakhiran buat MN, kata Nik Abduh

Umno tolak PN bukan pengakhiran buat MN, kata Nik Abduh

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata ruang kerjasama antara PAS dan Umno masih berjalan serta penyatuan khususnya antara parti Melayu-Islam masih terbuka untuk diusahakan.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, muzakarah Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini menegaskan pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seoran pemimpin PAS berpandangan jika Umno bertegas menolak kerjasama dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) ia bukan pengakhiran buat Muafakat Nasional (MN).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ruang kerjasama antara PAS dan Umno masih berjalan serta penyatuan khususnya antara parti Melayu-Islam masih terbuka untuk diusahakan.

“PN adalah usaha murni PAS. Jika Umno bertegas menolaknya hari ini, maka ia sama sekali tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran kepada Muafakat Nasional oleh kedua-dua parti PAS atau Umno. Jalan-jalan penyelesaian bukanlah sukar untuk ditemukan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, untuk sampai ke sesuatu destinasi, walaupun terhalang oleh kesesakan, kepadatan, kebingitan dan pelbagai halangan, pihak Jabatan Kerja Raya pasti berusaha membina jalan-jalan susur, pintas, bertingkat-tingkat dan sebagainya.

“Lihatlah bandar-bandar besar di seluruh dunia termasuk bandar raya Kuala Lumpur. Tiada jalan mati. Kita mesti sampai ke destinasi impian. Begitulah sains politik Islam. Kejayaan politik Islam adalah bergantung kepada keupayaan kita memecah kebuntuan lama. Kita perlukan pemimpin negara berjiwa kasih sayang yang luas dan damai.

“Saya konsisten mencadangkan agar usaha menjaga dan mengukuhkan MN adalah sebahagian daripada tanda kesyukuran kita kepada Allah di atas nikmat perpaduan. Segala kemajuan yang ingin kita capai selepas itu mestilah bertitik tolak daripada jaminan kemampuan dan kelestarian kita memugari MN dengan sebaiknya.

“Kita umat yang biasa bertengkar dalam politik. Ia cerita lama yang kita terpaksa lalui dan terima. Ia sejarah perpecahan umat. Tetapi ia tidak boleh menjadi acuan politik Islam. Perpecahan bukan ketandaan umat Islam yang berjaya. Perpecahan akan terus mengekalkan kemunduran politik Islam,” katanya.

Nik Abduh berkata, beliau bersetuju dan sekali lagi menegaskan bahawa rundingan kerusi bagi mengelak pertembungan tiga penjuru antara Umno dan PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan.

Katanya, muzakarah Majlis Syura Ulama (MSU) PAS baru-baru ini menegaskan pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN.

“Majlis Syura Ulamak PAS dalam muzakarahnya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan peri pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam.

“Deminya, menurut kenyataan tersebut, perundingan kerusi perlulah dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 nanti. MSU juga menyeru agar semangat taawun siyasi terus disuburkan dalam kalangan pemimpin dan ahli politik parti-parti Melayu Islam melalui pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

“Segala permasalahan hendaklah dihadapi dengan kesabaran, berlapang dada, saling memaafkan selain mengelakkan perselisihan di media terbuka,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menolak MN jika Umno enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti itu sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.