Sultan Johor titah jarak fizikal solat jemaah setengah meter bermula Jumaat

Sultan Johor titah jarak fizikal solat jemaah setengah meter bermula Jumaat

Pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah di Johor serta ceramah ditambah daripada sejam kepada tempoh tidak melebihi dua jam.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk membenarkan solat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal.
PETALING JAYA:
Johor hari ini mengumumkan penjarakan fizikal 1m bagi solat fardu dan Jumaat dikurangkan kepada setengah meter berkuat kuasa Jumaat ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, dalam tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah serta ceramah agama ditambah daripada sejam kepada tempoh tidak melebihi dua jam.

“Solat hajat hendaklah dilaksanakan selepas waktu Maghrib setiap hari dan selepas Jumaat setiap minggu di seluruh masjid serta surau di negeri ini untuk memohon dijauhkan daripada musibah melanda negeri dan negara ini,” kata kenyataan itu.

Titahnya, ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa memastikan jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perubahan yang berkuat kuasa 7 Jan ini sehinggalah ke satu tarikh yang akan diumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pada November tahun lalu, kerajaan Johor membentangkan cadangan SOP bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri itu dilakukan tanpa penjarakan fizikal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dipetik sebagai berkata, kertas cadangan itu dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim bagi mendapatkan perkenan baginda.

Beliau berkata, masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan fizikal selepas Johor memasuki Fasa 4 PPN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.