Kita gagal lindungi kanak-kanak Rohingya jadi pengemis, kata Azalina

Kita gagal lindungi kanak-kanak Rohingya jadi pengemis, kata Azalina

Ahli Parlimen Pengerang berkata, kanak-kanak Rohingya tidak patut dipersalahkan kerana negara tidak memberi perlindungan secukupnya kepada mereka.

Azalina Othman Said mahu Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak menangani isu kanak-kanak Rohingya menjadi pengemis.
PETALING JAYA:
Kanak-kanak Rohingya tidak patut dipersalahkan menjadi pengemis kerana kita gagal melindungi mereka, kata Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said mengulas satu tweet hari ini.

Beliau merujuk satu video yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak Rohingya mengetuk pintu kereta secara agresif untuk meminta wang.

Video itu mendapat maklum balas negatif dan xenofobia daripada warganet kerana ramai mengecam tindakan agresif kanak-kanak itu dan identiti etnik mereka.

Azalina, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata kanak-kanak itu tidak patut dipersalahkan atas kegagalan negara menghalang mereka daripada dipergunakan sebagai pengemis.

“Kanak-kanak Rohingya tidak patut dipersalahkan apabila mereka hidup di jalanan.

“Kita gagal memberikan perlindungan mencukupi kepada mereka menjadi pengemis atas permintaan orang dewasa!”

Beliau turut mempersoalkan kewujudan Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak, merujuk Seksyen 32 (kanak-kanak tidak boleh dipergunakan untuk mengemis dan aktiviti haram) serta Seksyen 33 (meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan munasabah) Akta Kanak-kanak 2001.

Menurut akta itu, majlis terbabit bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem pengurusan yang cekap dan berkesan di seluruh negara, menggabungkan saluran maklumat untuk melaporkan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, antara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.