
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan akhir Lim Kee Fu, 41, dan Tan Choon Ming, 43, selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dengan kemungkinan orang lain mempunyai akses terhadap methamphetamine, yang ditemui di sebuah rumah sewa di Cheras pada 2013.
Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang mengetuai panel tiga hakim berkata, sabitan terhadap dua tertuduh itu tidak selamat kerana hakim perbicaraan dan Mahkamah Rayuan telah tersalah arah.
“Rayuan dibenarkan, dan perayu dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah,” katanya yang bersidang bersama Vernon Ong Lam Kiat dan Mary Lim Thiam Suan.
Lim dan Tan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Gemilang pada 8.45 malam, 9 Sept 2013.
Bukti telah dikemukakan ketika perbicaraan yang menunjukkan tiga orang termasuk Lim dan Tan telah ditahan dalam serbuan polis itu. Suspek ketiga, seorang wanita bernama Ng Mei Cheng, dibebaskan dan kemudian menjadi saksi pendakwaan.
Menurut pegawai yang melakukan serbuan, dua lelaki itu cuba melarikan diri sebaik melihat polis berpakaian preman yang bersenjatakan pistol memasuki rumah itu. Polis merampas 89 peket mengandungi serbuk yang kemudian disahkan methamphetamine.
Dalam penghakiman lisannya, Azahar berkata, penyewa premis itu dikenali sebagai Chong Yew Chieng, namun individu itu tidak dipanggil sebagai saksi oleh pendakwaan kerana gagal dikesan polis.
Perjanjian penyewaan itu hanya mengandungi nama Chong, dan bukannya Lim, Tan atau Ng.
“Pada pandangan kami, tidak dapat diketepikan bahawa Chong juga mungkin meletakkan dadah itu dalam rumah berkenaan,” kata Azahar dengan menambah Chong adalah seorang yang benar-benar wujud.
Selain itu, katanya, hakim perbicaraan membuat andaian negatif daripada tindakan dua lelaki itu cuba melarikan diri ketika serbuan polis.
“Adalah munasabah untuk mereka panik dan melarikan diri apabila serbuan dilakukan polis berpakaian preman dan bersenjatakan pistol,” katanya.
Lim dan Tan diwakili peguam Gopal Sri Ram manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Baizura Kamal.