Sungai Langat kembali lepasi paras bahaya

Sungai Langat kembali lepasi paras bahaya

Bacaan aras sungai melepasi paras normal pada 4.20m setakat 8 pagi ini.

Paras air Sungai Langat di Bukit Changgang menunjukkan bacaan 4.29m pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aras air Sungai Langat di Bukit Changgang kembali melepasi paras bahaya (merah) apabila menunjukkan bacaan 4.29m setakat pagi tadi.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang InfoBanjir, bacaan aras sungai melepasi paras normal pada 4.20m setakat 8 pagi ini, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Sungai Langat di Dengkil, Sepang pula melepasi paras amaran (jingga), iaitu 7.07m berbanding bacaan normal 6.90m.

“Tiga lagi sungai melepasi paras berjaga-jaga (kuning), membabitkan Sungai Klang dalam daerah Klang pada bacaan 2.47m.

“Sungai Langat di JPS Sungai Manggis (2.22m) dan Pintu Air Kampung Teluk Pulai (1.33m) dalam daerah Kuala Langat,” menurut laporan itu.

Semalam, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis mengesahkan enam keluarga membabitkan 15 individu berpindah selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Nangka, Banting, dinaiki air susulan hujan berterusan serta air pasang besar.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam memaklumkan kawasan kampung berkenaan dinaiki air hingga paras 0.6m.

Katanya, setakat 10.30 malam, enam keluarga membabitkan 13 dewasa, termasuk tiga warga emas dan tiga lagi kanak-kanak berpindah ke Dewan Sri Langat, manakala mangsa lain memilih untuk menumpang di rumah saudara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.