
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata, dua PPS yang baharu dibuka itu adalah di Balai Raya Sri Pantai, yang menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga dan SK Sri Pantai membabitkan 41 mangsa daripada 10 keluarga.
“Keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 2,693 pada 12 tengah malam, berbanding 2,553 pada 8 malam tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan malam tadi.
“Keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini sebanyak 48, berbanding hanya 45 PPS pada 8 malam tadi di lima lagi daerah terjejas, iaitu Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang.”
Dalam pada itu Vidyananthan berkata, lima sungai di Johor berada pada paras bahaya setakat 12 tengah malam tadi, berbanding hanya dua yang dilaporkan pada tengah hari semalam.
Beliau berkata, sungai-sungai terbabit adalah Sungai Segamat, Sungai Tangkak, Sungai Lenik dan Sungai Muar di Segamat serta Sungai Endau di Mersing.
“Empat laluan, iaitu satu di Mersing membabitkan jalan ke Kampung Orang Peta dan Punan serta tiga lagi laluan di Segamat, iaitu Jalan Putting, Jalan Kuala Paya Balai Badang dan Jalan Tumang ditutup kepada semua kenderaan selepas paras air naik melebihi 1m,” katanya.