Banjir di Johor makin buruk, lebih 4,000 mangsa di 70 PPS

Banjir di Johor makin buruk, lebih 4,000 mangsa di 70 PPS

Muar menjadi daerah kelapan dan terbaharu di Johor yang terjejas dengan banjir.

Mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 4,278 mangsa daripada 1,130 keluarga setakat 4 petang tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Situasi banjir di Johor dilaporkan semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada lebih 4,000 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di negeri itu melonjak kepada 4,278 mangsa daripada 1,130 keluarga di 70 PPS setakat 4 petang tadi.

Katanya, ini berbanding hanya 4,062 mangsa daripada 1,064 keluarga di 64 PPS, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Muar menjadi daerah kelapan dan terbaharu di Johor yang terjejas dengan banjir, apabila 52 orang daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

Vidyananthan berkata, Segamat terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,344 orang daripada 872 keluarga dipindahkan ke 47 PPS petang ini berbanding 3,284 orang daripada 853 keluarga tengah hari tadi

“Sebanyak 70 PPS kini dibuka di Johor dengan Segamat paling banyak, iaitu 47, diikuti Tangkak (tujuh), Mersing (enam), Kota Tinggi dan Kluang masing-masing tiga, Johor Bahru (satu), Batu Pahat (satu) dan daerah terbaru terjejas Muar dengan dua PPS,” katanya dalam kenyataan dipetik Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa banjir paling ramai ialah di PPS SK Kampung Tenang di Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJKC Tah Kang di Segamat (319 mangsa daripada 85 keluarga) dan SK Batu Anam di Segamat (256 mangsa daripada 70 keluarga).

“Tangkak melonjak menjadi daerah kedua terjejas banjir dengan 161 mangsa daripada 45 keluarga di tujuh PPS, manakala Mersing turut naik dengan 395 mangsa daripada 101 keluarga di enam PPS.

“Kota Tinggi pula merekodkan 203 mangsa banjir daripada 60 keluarga di tiga PPS, manakala Batu Pahat pula dengan 50 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke Balairaya Kampung Haji Kamisan.”

Beliau berkata, Johor Bahru pula merekodkan dua mangsa banjir daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.