Ambil tindakan terhadap Azam, isu kolam takungan air, gesa G25

Ambil tindakan terhadap Azam, isu kolam takungan air, gesa G25

G25 berkata, SPRM perlu menangani isu kontroversi itu untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap keupayaannya membanteras rasuah.

G25 berkata, SPRM mesti menyiasat dakwaan itu untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap usaha agensi tersebut melawan rasuah dan korupsi.
PETALING JAYA:
Kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi awam menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dakwaan kolam takungan air di Kuala Lumpur diluluskan untuk pembangunan, serta pemilikan saham Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

Dalam kenyataan hari ini, G25 menyuarakan rasa kecewa kerana badan antirasuah itu belum memberi maklum balas terhadap gesaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh supaya SPRM menyatakan pendiriannya berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2019 bahawa enam kolam takungan air di Kuala Lumpur diluluskan untuk pelbagai projek pembangunan.

Menegaskan SPRM sepatutnya menyiasat sama ada wujud kepentingan mana-mana pihak di sebalik perubahan penggunaan tanah itu, G25 berkata, ini lebih penting lagi memandangkan banjir melanda negara baru-baru ini.

G25 turut kecewa dengan SPRM yang “berdiam diri” terhadap gesaan ahli akademik, Edmund Terence Gomez supaya mengadakan perbincangan berhubung dakwaan Azam memiliki saham dalam syarikat senaraian awam.

Gomez dikatakan meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM pada 27 Dis lalu berkaitan isu itu.

“Dalam surat peletakan jawatannya, profesor berkenaan menjelaskan semua suratnya kepada SPRM menggesa siasatan dalaman terhadap tuduhan itu tidak dijawab,” kata G25, yang menambah sikap berdiam diri itu menambah syak bahawa ada sesuatu tidak kena dengan agensi berkenaan.

Menegaskan pentingnya menangani kontroversi itu untuk memastikan keyakinan awam terhadap keupayaan SPRM melawan rasuah dan korupsi, G25 berkata, badan antirasuah di Hong Kong, Singapura dan Indonesia “amat dihormati” kerana bertindak terhadap pegawai berpangkat tinggi.

“Kami berharap SPRM menunjukkan ia mampu melakukan perkara sama. Namun, pertama sekali, ia mesti melakukan pembersihan dari dalam organisasi itu sendiri,” katanya.

Pengerusi PPPR, Borhan Dolah sebelum ini dipetik berkata, Gomez tidak membincangkan dakwaan salah laku berkaitan Azam dengan beliau sebelum meletak jawatan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Abu Zahar Ujang dipetik oleh Utusan Malaysia berkata, pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada Gomez berkaitan dakwaan terhadap Azam itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.