
Dalam satu pemakluman, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata walaupun kejadian fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding Nov lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat serentak.
Katanya, ia akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.
Antara kawasan yang berisiko tinggi adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor), serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” menurut pemakluman itu.