
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah membuat persediaan untuk program vaksinasi itu.
Katanya, vaksinasi itu penting memandangkan sekolah akan memulakan kelas fizikal selepas Sarawak beralih ke pelan pemulihan negara (PPN) Fasa 4 bermula esok.
Beliau berkata, dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diberikan kepada kanak-kanak tidak sama dengan dos dewasa.
“Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka melancarkan vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pada Februari ini menggunakan suntikan Pfizer-BioNTech untuk vaksinasi pediatrik,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.
Sim mengingatkan orang ramai tidak mengambil ringan penularan varian Omicron di Sarawak kerana pakar meramalkan varian itu akan menembusi masyarakat hujung bulan ini.
“Meskipun varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk, tetapi ia merebak lebih pantas. Jangan ambil ringan hal ini,” katanya sambil menambah sikap berpuas hati boleh membawa pelbagai cabaran kepada petugas kesihatan kerana kekurangan sumber.
Tetapi, beliau gembira rakyat Sarawak bertindak balas positif untuk mendapatkan suntikan penggalak yang mencatatkan kadar inokulasi tertinggi setakat ini.