
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata, PPS di Kota Tinggi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia di Pengerang yang menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga.
“Keseluruhan mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,827 pada 12 tengah hari, berbanding 1,646 pada 8 pagi tadi.
“Keseluruhan PPS yang dibuka setakat ini sebanyak 32, dengan empat baharu dibuka berbanding hanya 28 PPS pada 8 pagi tadi di semua tiga daerah terjejas iaitu Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata dua sungai di Johor berada pada paras bahaya setakat jam 10.45 pagi tadi iaitu Sungai Segamat dengan bacaan 9.28m dan Sungai Tangkak (4.29m).
“Empat lagi sungai berada pada kategori ‘amaran’ iaitu Sungai Kesang di Tangkak, Sungai Lenik dan Sungai Muar di Segamat serta Sungai Muar di Muar.
“Dua laluan di Mersing iaitu Jalan ke Kampung Orang Asli Peta dan Punan, serta dua lagi laluan di Segamat iaitu Jalan Bangas dan Jalan Putting ditutup kepada semua kenderaan selepas paras air naik sehingga satu meter,” katanya.