
Dalam kenyataan semalam, Serba Dinamik berkata, peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat, Mohd Abdul Karim Abdullah, tidak pernah menyebut mengenai kerjasama dengan Petronas dan kata-katanya telah disalah petik.
“Dalam kenyataan akhbar yang dibuat oleh Shafee, jelas menyebut bahawa Abdul Karim komited untuk menghadiri Ekspo Dubai 2020 bagi mewakili Serba Dinamik pada Hari Malaysia yang dijadualkan pada 8 Jan 2022,” kata syarikat itu.
“Apa yang dikatakan adalah Serba Dinamik menjadi penaja kepada acara itu sama seperti Petronas, sebagai satu cara untuk menekankan kepentingan acara itu kepada Mahkamah Sesyen.”

Petronas mengeluarkan kenyataannya sendiri pada Rabu, menafikan ia bekerjasama dengan Serba Dinamik untuk menarik pelabur di ekspo itu.
Serba Dinamik berkata, FMT telah salah memetik kata-kata Shafee dalam artikel bertajuk “Serba Dinamik CEO charged over alleged false statement on company affairs”.
Menurut artikel itu, Karim akan menghadiri ekspo itu bulan depan untuk menarik pelabur dan “Serba Dinamik dan Petronas akan membawa masuk pelaburan mencecah RM33.9 bilion”.
Syarikat itu juga berkata, ia ingin membetulkan dakwaan artikel itu bahawa ia adalah penaja utama untuk acara Hari Malaysia di ekspo itu.
FMT telah meminda artikel terbabit dan kesal dengan sebarang kekeliruan atau salah tanggapan yang mungkin disebabkannya.