Satukan PAS-Umno ibarat angan-angan merugikan, kata Veteran Umno

Satukan PAS-Umno ibarat angan-angan merugikan, kata Veteran Umno

Pengerusinya Othman Desa sebaliknya menggesa ahli Umno memperkukuh dalaman parti dan tidak terlalu sibuk dengan hala tuju parti lain.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa berkata, ‘sudah terang lagi bersuluh’ bahawa PAS memilih Bersatu berbanding Umno, malah Umno sendiri sudah jelas pendirian untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA:
Veteran Umno tidak mahu parti itu “terlalu sibuk” bercakap mengenai perjuangan parti lain sebaliknya fokus untuk memperkukuhkan dalamannya sendiri.

Pengerusinya Othman Desa berkata, “sudah terang lagi bersuluh” PAS memilih Bersatu berbanding Umno, malah Umno sendiri sudah jelas pendirian untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kenapa nak menaruh harapan dengan PAS? Kita orang Umno kena fikir kukuhkan parti untuk hadapi PRU.. orang lain tu langsung tak fikir kita, tak mahu kerjasama dengan kita… kenapa kita nak fikir-fikir?” katanya kepada FMT.

“Biarlah dia (PAS) fikir cara dia sebab kita dah tawar macam-macam tetapi dia masih dengan cara dia. Kita kena perjelas perjuangan kita (kepada umum), jangan kira perjuangan orang yang tak jelas,” kata beliau merujuk kepada kenyataan PAS semalam bahawa parti itu akan terus memperkasa MN dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin semalam berkata, Umno tidak patut bertindak terburu-buru memutuskan hubungan dengan PAS dengan menarik diri daripada MN.

“Saya rasa kita (Umno dan PAS) sudah serasi, saya pun sudah serasi dengan PAS dalam Jemaah Menteri.

“Kita ada kerjasama yang baik, jadi biarlah kita fikir dengan baik mengenai perkara ini dan jangan membuat apa-apa keputusan dengan terburu-buru,” katanya dalam satu wawancara khas disiarkan di Umno Online malam tadi.

Beliau menjawab gesaan beberapa pemimpin Umno supaya hubungan dengan PAS dipertimbangkan semula selepas parti itu menolak kerjasama dengan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Antaranya termasuk Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed yang pada Jun lalu menyifatkan PAS berkemungkinan menjadi liabiliti pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Othman berkata, mengimpikan Umno dan PAS duduk di dalam satu “rumah” yang sama ibarat “angan-angan yang merugikan”.

“Angan-angan ini satu benda yang merugikan… Orang Umno kena fikir Umno. Pemimpin Umno yang tidak jelas dengan perjuangan dasar parti, baliklah ke pangkuan Umno, perkukuhkan parti… jangan bercakap terlampau menimbang perjuangan orang lain,” katanya.

“Bukan kita cakap kena kuatkan parti (bermaksud) kita tak mahu kawan dengan orang lain… tak, kita nak kawan dengan semua tetapi mereka yang tak mahu kawan dengan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.