
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama bagi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.
“SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menyeru orang ramai supaya tidak berasa selesa dengan peralihan fasa berkenaan ketika wabak Covid-19 masih lagi menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.
“Semua pihak harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.
“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” katanya.