‘Pentingkan keuntungan’ teruskan operasi, kilang kotak ingkar arahan tutup diserbu

‘Pentingkan keuntungan’ teruskan operasi, kilang kotak ingkar arahan tutup diserbu

Kilang itu diberi notis penutupan selama tujuh hari selepas 30 pekerjanya yang disaring didapati positif Covid-19, namun tetap mengarahkan 112 kontak rapat datang bekerja.

Siasatan mendapati wakil syarikat memberikan alasan kilang tersebut terpaksa dibuka demi memenuhi permintaan pelanggan.
PETALING JAYA:
Bukan saja ingkar arahan penutupan operasi, sebuah kilang kotak di Jasin, Melaka turut mengarahkan 112 pekerja yang merupakan kontak rapat 30 kes positif Covid-19 tetap datang bekerja.

Kilang tersebut sepatutnya memberhentikan operasi selepas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari, susulan 30 daripada 170 pekerja yang disaring dikesan positif Covid-19, semalam.

Bagaimanapun, tindakan tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu sepasukan penguat kuasa JKN bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Muhamad berkata, kilang kotak itu diarahkan tutup sehingga 5 Januari depan, namun pihaknya mendapat maklumat ia masih beroperasi.

Katanya, pihaknya juga mendapati syarikat tersebut meminta pekerja yang merupakan kontak rapat kes, bekerja pada hari ini, menurut laporan Utusan Online.

Berikutan itu, katanya syarikat tersebut dikenakan kompuan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati wakil syarikat memberikan alasan kilang tersebut terpaksa dibuka demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kita amat kecewa kerana pihak syarikat lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan dan nyawa orang ramai.

“Mereka memberikan alasan meneruskan operasi untuk memastikan tempahan dapat disiapkan,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua 112 pekerja terbabit telah dipakaikan gelang kuarantin bagi mengawal pergerakan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.