
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, tinjauan persatuan itu pada 2021 ke atas gaji pekerja eksekutif dan bukan eksekutif menunjukkan lima kemahiran paling diperlukan untuk diambil bekerja adalah pemikiran kritis, penguasaan bahasa Inggeris, kemahiran interpersonal, fleksibiliti dan kemahiran menyesuaikan diri.
“Untuk pengambilan (kerja) dan kemajuan dalam kerjaya, bahasa Inggeris dititikberatkan dan mereka yang menguasainya menerima gaji permulaan lebih baik, kemajuan lebih pantas, jawatan dan tugasan global,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, sektor swasta memerlukan kakitangan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik agar dapat melaksanakan tugas dengan cekap dalam pasaran global.

Beliau mengulas komen bekas Menteri Kewangan II Johari Ghani bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah penting bagi belia B40 untuk maju dalam kehidupan bekerja mereka.
“Bahasa Inggeris akan membantu pekerja berkomunikasi dengan lebih baik sesama sendiri,” katanya.
Tambahnya, graduan baharu yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris menempuh kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan sekarang kerana majikan mahukan kakitangan yang boleh berkomunikasi merentasi sempadan.
Salahkan ahli politik
Pengetua sekolah V Chakaravathy berkata, penurunan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia bermula pada penghujung 1970-an apabila tumpuan beralih kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah.

“Saya sokong bahasa Melayu (digunakan) sebagai faktor penyatuan tetapi kita mulai lemah dalam bahasa Inggeris, matematik dan sains,” katanya.
Segelintir ahli politik mendukung agenda Melayu pada 80-an tanpa mengambil kira akibat mengabaikan bahasa Inggeris.
Chakaravathy, yang berusia pertengahan 80-an, berkata: “Bahasa Inggeris telah dikorbankan dan penguasaannya yang lemah kini menjadi penghalang kepada kemajuan seseorang dalam kehidupan.”
Katanya, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris mengakibatkan pegawai Malaysia yang menghadiri persidangan antarabangsa tidak menonjol kerana takut untuk bercakap.
“Wakil Singapura, Hong Kong, India dan Pakistan yang bercakap dalam persidangan seperti itu,” katanya.
Malah kebanyakan guru bahasa Inggeris turut tidak menguasai bahasa itu dengan baik.
Bahasa Inggeris aset negara

Bekas Ahli Parlimen Tawfik Ismail, iaitu anak Timbalan Perdana Menteri kedua Dr Ismail Abdul Rahman, berkata, mahir dalam sesuatu bahasa lain atau mempunyai keinginan untuk mempelajarinya tidak menjadikan seseorang itu kurang patriotik.
“Bahasa Inggeris adalah bahasa universal dan tidak lagi dilihat sebagai bahasa penjajah atau imperialis.
“Negara-negara yang kalah dalam peperangan dengan Britain tidak memboikot bahasa Inggeris,” katanya, merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen PAS Awang Hashim bahawa rakyat yang setia mesti menggunakan bahasa Melayu dalam apa jua sektor yang diceburinya.
Tawfik, calon Gerak Independent (GERAK) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), berkata: “Pengetahuan bahasa Inggeris diperlukan untuk pekerjaan yang bergaji tinggi dan pendidikan yang baik.
“Malaysia menjadi popular dalam kalangan pelajar dan perniagaan asing disebabkan penggunaan bahasa Inggeris. Jadi ironinya, ia adalah aset negara yang tidak disedari ramai,” tambahnya.