Pegawai bank ditipu Macau Scam lebih RM100,000

Pegawai bank ditipu Macau Scam lebih RM100,000

Mangsa berusia 47 tahun ditipu selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai wakil 'Bank Negara'.

Mangsa berasa tidak sedap hati kemudiannya membuat semakan akaunnya di sebuah bank dan mendapati terdapat dua pengeluaran wang sebanyak RM104,000, menurut polis.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai bank menjadi mangsa terbaharu sindiket Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM100,000 selepas menyerahkan maklumat akaun banknya kepada pihak yang menyamar sebagai “wakil” Bank Negara.

Kejadian berlaku selepas mangsa berusia 47 tahun dari Negeri Sembilan itu dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank dan memaklumkan kononnya terdapat transaksi daripada kad kredit untuk urusan mata wang elektronik bitcoin tanpa kebenarannya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Aibee Abd Ghani, mangsa mengalami kerugian RM104,000 selepas wang dikeluarkan daripada akaun tanpa pengetahuannya.

“Ketika mangsa berada di rumahnya di Jalan Rasah, di sini, semalam, dia dihubungi seorang wanita yang mengaku pegawai sebuah bank dan mendakwa terdapat transaksi daripada kad kredit berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin.

“Kemudian ‘pegawai’ berkenaan menyambungkan mangsa kepada ‘pegawai’ Bank Negara bernama Sarah dan wanita itu kononnya mengesahkan transaksi berkenaan selain turut menunjukkan laporannya,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki di talian bernombor 019-5619807 dan mangsa diminta mengemas kini pita magnetik pada kad banknya.

“Sindiket juga meminta mangsa menyenaraikan kad bank dimiliki dan menyuruhnya menukar nombor pin di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Mangsa memberikan maklumat yang diminta tanpa menyedari ia adalah kegiatan jenayah Macau Scam,” katanya.

Menurut Aibee, mangsa berasa tidak sedap hati kemudiannya membuat semakan akaunnya di sebuah bank dan mendapati terdapat dua pengeluaran wang daripada akaunnya sebanyak RM104,000.

“Mangsa tidak berpuas hati kerana ditipu sebelum membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.