
Kontraktor, S Gopinaath, 30, adalah abang kepada salah seorang tertuduh, Gokulan, 18, yang dibicarakan bersama tiga rakannya atas tuduhan membunuh Nhaveen.
Gopinaath direman sehari di Mahkamah Majistret pada pagi sebelum didakwa atas tuduhan bunuh pada sebelah petang.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah taman di Jalan Bunga Raya, Bukit Gelugor antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 9 Jun 2017, bersama empat yang lain.

Tiada pengakuan direkodkan kerana tuduhan membawa hukuman mati dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Gopinaath bagaimanapun mengangguk tanda faham ketika tuduhan dibacakan di hadapan hakim Manomani Ramanathan yang bertindak sebagai majistret.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar memberitahu mahkamah bahawa kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pagi esok.
Pendakwaan tidak menawarkan jaminan. Gopinaath berkata, dia telah melantik peguam, namun tidak hadir hari ini.
Tuduhan terhadap Gopinaath itu adalah susulan keterangan saksi utama, T Previin, mengaitkannya dengan kejadian serangan terhadap Nhaveen yang mengakibatkan mangsa tidak sedar diri, sebelum akhirnya meninggal dunia.
Perbicaraan kes bunuh terhadap empat tertuduh bermula Mei lalu.
Pada masa sama, empat tertuduh berkenaan turut didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan serius terhadap Previin, 23.
Previin yang turut bersama Nhaveen ketika kejadian itu, memberitahu mahkamah semalam tulang pipinya pecah didakwa akibat dipukul oleh empat tertuduh remaja berkenaan menggunakan topi keledar.
J Ragesuthan, 18, Gokulan, 18, dan dua lagi pesalah juvana didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, antara 11 malam dan 12 tengah malam 9 Jun 2017.
Semuanya mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Empat tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencederakan Previin menggunakan topi keledar, tetapi dilepas tanpa dibebaskan pada 2 Okt 2018.
Tuduhan terbaru ini susulan keterangan Previin dalam perbicaraan kes bunuh Nhaveen semalam mengenai kecederaan dialaminya selepas diserang empat tertuduh itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Radzi Abdul Hamid yang mendengar perbicaraan kes tuduhan bunuh berkenaan membenarkan semua kes dibicarakan bersama.
Tuduhan melibatkan kecederaan terhadap Previin akan dibacakan di Mahkamah Tinggi esok.