5 lagi insiden tanah runtuh direkodkan

5 lagi insiden tanah runtuh direkodkan

Lima kejadian itu menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut 2021.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara, lima kejadian tanah runtuh terbaru melibatkan masing-masing dua kes di Pahang dan Selangor serta satu di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan lima kejadian tanah runtuh itu berlaku di Pahang (dua kes) Selangor (dua) dan Kuala Lumpur (satu).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh di Selangor sebanyak 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu), menurut laporan Bernama.

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bekalan elektrik di 852 kawasan yang terjejas banjir di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah dipulihkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ia meliputi 525 kawasan di Pahang, 183 kawasan di Selangor, 119 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

TNB Careline turut memberitahu tiga kawasan di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Pahang serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

Selain itu menurutnya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

TNB Careline juga menasihati pelanggan supaya memastikan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah kering terlebih dahulu sebelum digunakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.