Wanita Malaysia kini boleh mohon dokumen kewarganegaraan anak lahir luar negara

Wanita Malaysia kini boleh mohon dokumen kewarganegaraan anak lahir luar negara

Minggu lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan oleh kerajaan dan mengarahkannya mengeluarkan dokumen kewarganegaraan anak-anak ini.

Myra (kiri) dan Devi adalah antara wanita yang hadir ke JPN hari ini bagi memohon dokumen kewarganegaraan anak mereka.
PUTRAJAYA:
Setelah sekian lama menunggu, wanita Malaysia yang bersuamikan warga asing kini boleh mendaftarkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Minggu lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan oleh kerajaan dan mengarahkannya mengeluarkan dokumen kewarganegaraan buat anak-anak terlibat.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan anak-anak tersebut berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan itu, beberapa wanita Malaysia mengunjungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pagi ini untuk memohon dokumen kewarganegaraan buat anak-anak mereka.

Suri Kempe, Presiden kumpulan hak asasi Family Frontiers berkata, JPN memudahkan proses mendapatkan sijil kewarganegaraan mereka yang akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan.

“Ini adalah hari yang mengujakan. Kunjungan hari ini ke JPN mengesahkan bahawa wanita Malaysia mempunyai hak yang sama untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak-anak mereka,” katanya.

“Ibu dan anak mereka masuk (ke pejabat) dan pegawai JPN dengan pantas dan cekap memudahkan proses mendapatkan kewarganegaraan.

“Anak-anak ini akhirnya akan diiktiraf sebagai rakyat Malaysia dan ibu-ibu mereka boleh menggunakan sijil pengesahan kewarganegaraan untuk mendapatkan MyKad mereka.”

Suri berkata, ibu-ibu lain boleh mendapatkan bantuan daripada pejabat JPN terdekat.

“JPN beritahu kami, mereka akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi semua pejabatnya di seluruh negara,” katanya.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Myra berkata, beliau dan wanita-wanita lain gembira dengan perkembangan itu.

“Akhirnya, ibu rakyat Malaysia boleh mendapatkan kewarganegaraan (buat anak-anak) seperti yang dibenarkan bagi bapa rakyat Malaysia,” katanya.

“Kami tidak lagi perlu melalui proses yang melelahkan untuk memohon visa pelajar dan dokumen lain sepertinya.”

Seorang lagi ibu, Devi, berkata, ini adalah satu pencapaian bagi ibu-ibu rakyat Malaysia.

“Anak-anak kami akhirnya dapat rasa mereka berasal dari sini dan tidak perlu lagi membawa pasport sepanjang masa,” katanya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan tetap akan mendengar rayuan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mac, bersama satu lagi kes membabitkan seorang wanita yang dilahirkan di luar negara kepada seorang ibu rakyat Malaysia.

Suri berharap kerajaan akan menarik balik rayuan itu.

“(Tindakan) terus merayu keputusan itu tidak masuk akal dari segi moral atau ekonomi dan tiada belas kasihan,” katanya.

“Walaupun kami sedang menunggu kes dibicarakan pada Mac, kami ingin menekankan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menghormati status wanita Malaysia sebagai warganegara yang saksama dan sebagai individu yang sama taraf (dari segi) nilai dan maruahnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.