‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’, keluh abang lori tunda

‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’, keluh abang lori tunda

Beberapa pemandu lori terkesan selepas tular di media sosial kisah lori tunda didakwa terbabit dalam cubaan mencuri kereta mangsa banjir.

Beberapa pemandu lori tunda berkata, mereka dipandang serong lebih-lebih lagi selepas insiden banjir yang menenggelamkan ratusan kenderaan.
SHAH ALAM:
Beberapa pemandu lori tunda yang ditemui mengakui terkesan selepas tular di media sosial kisah sebuah lori tunda yang terbabit dalam kejadian yang didakwa percubaan mencuri kereta mangsa banjir baru-baru ini.

Wan Khairul Wan Abdullah, 33, berkata, sejak itu pemandu lori tunda dipandang serong lebih-lebih lagi selepas banjir yang menenggelamkan ratusan kenderaan.

“Kami agak tak selesa nak buat kerja, kita pergi mana-mana sahaja, orang pandang kita, seolah-olah kami nak mencuri kereta,” katanya kepada FMT.

Khairul berkata, disebabkan ada seorang pemandu lori tunda ditahan dalam siasatan kes percubaan mencuri kenderaan milik mangsa banjir, “kami pula mendapat tempiasnya”.

Wan Khairul Wan Abdullah.

“Sebab nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Khairul menjelaskan pemandu lori tunda turut berperanan membantu orang ramai.

“Kadang-kadang pihak penguasa yang akan suruh kami alihkan kereta ke tempat yang lebih selamat jika pemilik tak datang – sebab kereta menghalang laluan,” katanya.

Khairul sendiri cuba membantu meringankan beban mangsa musibah dengan mengenakan bayaran yang lebih murah untuk perkhidmatannya.

“Kita faham mangsa banjir kehilangan banyak benda, rumah tenggelam,” katanya.

Baru-baru ini, seorang warga tempatan direman dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, susulan kisah tular di media sosial.

Menurut media, seorang pemilik kenderaan mendakwa kenderaannya diangkut ke atas sebuah lori tunda dengan nombor pendaftaran dicabut sebelum disedari penduduk setempat.

Khairul memberitahu sebelum beliau menunda mana-mana kereta dia akan memastikan pemilik kenderaan hadir bersama kunci kenderaan sebagai bukti kenderaan itu miliknya.

“Saya akan pastikan pemilik kereta datang bersama kunci. Sebab saya tak nak ada masalah pada hari kemudian.”

Seorang lagi pemandu lori tunda, yang hanya mahu dikenali sebagai Fazli, 36, meminta orang ramai supaya tidak memandang buruk kepada golongan penunda kenderaan.

“Orang lain yang buat (disiasat), orang lain pula yang terkesan,” keluhnya.

Fazli yang sudah lapan tahun bekerja dengan syarikat penunda berkata, beliau juga tidak mahu ketinggalan membantu pada saat rakyat ditimpa bencana.

Fazli.

“Selepas banjir ni, banyak kerja sikit. Satu hari saya akan tarik dalam tujuh hingga lapan buah kereta. Ada yang hantar ke bengkel. Ada hantar ke rumah dan ada yang kita tolong letak di tempat yang betul,” katanya.

Fazli memberitahu FMT beliau seorang penunda yang mempunyai kontrak dengan majlis bandar raya.

“Ada juga saya tarik kereta yang pemiliknya tidak datang betulkan kedudukan keretanya tetapi atas arahan penguasa – untuk pastikan kereta itu tidak menghalang jalan raya,” katanya.

Bencana banjir di Taman Sri Muda minggu lalu menyaksikan ratusan buah kereta tenggelam disebabkan paras air naik dengan cepat. Tinjauan wartawan FMT mendapati sehingga hari ini masih banyak kereta yang tersadai di kiri dan kanan bahu jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.