
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, penubuhan parti baharu yang akan dilancarkan bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony akan memecah-belahkan komuniti KDM dari segi politik.
Katanya, keputusan Peter dan Juil Nuatim keluar Warisan dan bakal menubuhkan parti baharu sudah pasti memberi kesan kepada Warisan kerana ia kehilangan dua lagi kerusi.
“Kedua-dua mereka juga merupakan ADUN kawasan KDM, iaitu Malalap dan Limbahau. Secara langsung, kekuatan Warisan di kawasan majoriti KDM atau Bumiputera bukan Islam akan terkesan.
“Selain itu, jika parti yang bakal ditubuhkan berasaskan KDM, sudah pasti ia akan memecahkan KDM secara politiknya meskipun kemunculan parti baharu memberi pilihan kepada mereka,” katanya kepada FMT.
Tony berkata, keputusan Peter dan Juil keluar Warisan juga bakal menimbulkan tanggapan bahawa parti itu berdepan dengan konflik dalaman dan berpecah.
Katanya, sejauh mana parti baharu yang ditubuhkan Peter nanti akan memberi impak kepada politik Sabah juga masih belum boleh diukur, tetapi pastinya akan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Sabah.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, tidak mustahil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Peter selama ini, iaitu KDM Malaysia bakal dijadikan platform kepada parti baharu yang akan dilancarkan bulan depan itu.
Katanya, sejauh mana kekuatan parti baharu itu nanti adalah bergantung kepada barisan pemimpinnya.
“Sedikit mengejutkan kerana selama ini Peter dikenali sebagai ‘orang kanan’ Shafie Apdal. Berdasarkan info yang saya terima, mereka akan menubuhkan sebuah parti yg berteraskan KDM di Sabah.
“Kita perlu lihat ‘line up’ parti itu dulu, tiada siapa yang boleh menggelar parti baharu berkenaan sebagai ‘parti nyamuk’ atau ‘parti serpihan’ buat masa sekarang.
“Selaku Presiden KDM Malaysia, sebuah NGO yang sudah lama diterajui Peter, tidak mustahil ia akan menjadi platform kepada penubuhan parti baharu yang ingin diumumkan beliau tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, Peter yang merupakan ADUN Melalap mengumumkan keluar Warisan bagi menubuhkan parti baharu.
Sementara itu, Juil yang juga ADUN Limbahau turut menyatakan keluar daripada Warisan bersama dengan Peter, namun beliau belum membuat keputusan sama ada akan menyertai parti baharu yang ditubuhkan nanti atau tidak.
Bagaimanapun, Juil dijangka akan membarisi senarai pemimpin parti baharu itu nanti berdasarkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden KDM Malaysia dan semua maklum beliau adalah “orang kanan” Peter.
Dengan keluarnya Peter dan Juil daripada Warisan, parti berkenaan kini hanya mempunyai 17 kerusi DUN.
Sebelum ini, Warisan mempunyai 23 kerusi DUN selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu namun ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia.
Selepas itu, tiga lagi ADUN keluar parti, iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohamaddin Ketapi (Segama).
Semua mereka pada mulanya mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN bebas yang mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, Hassan dan Mohamaddin kemudian mengumumkan menyertai Bersatu, namun Yusof sehingga kini kekal sebagai ADUN bebas mesra kerajaan.