Kekecewaan pengundi ketika PH berkuasa punca kekalahan di Sarawak

Kekecewaan pengundi ketika PH berkuasa punca kekalahan di Sarawak

Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, berkata sentimen kecewa pengundi memberi kesan kepada prestasi Pakatan Harapan di negeri itu.

Chong Chieng Jen dan kepimpinan DAP Sarawak memohon maaf kepada pengundi disebabkan gagal memenuhi harapan mereka.
GEORGE TOWN:
Prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini dilihat berpunca daripada kekecewaan pengundi terhadap parti itu selepas mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018.

DAP Sarawak berkata, dapatan itu adalah hasil penelitian”post mortem” selepas berakhirnya PRN Sarawak yang menyaksikan PH hampir dilenyapkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kajian membabitkan keputusan pengundian juga mendapati peratusan pengundi Cina keluar adalah rendah, iaitu hanya 40%-45%.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jumlah peratusan keluar mengundi kumpulan berkenaan adalah 65%.

“Keputusan itu juga memaparkan undi terpecah dalam kalangan pengundi Cina, selain kurang keinginan untuk keluar mengundi,” katanya.

Secara perbandingan Chong berkata, peratusan keluar mengundi dalam kalangan Bumiputera adalah dalam lingkungan 65%-70% tahun ini, manakala pengundi tentera dan polis yang direkodkan pada tahap 75%.

“Kami mengakui kadar keluar mengundi rendah dan pecahan undi disebabkan sentimen kekecewaan awam dalam kalangan pemilih di banyak kawasan kami.

“Sentimen sedemikian didorong tanggapan bahawa DAP dan PH ketika mentadbir kerajaan persekutuan selama 22 bulan tidak menepati jangkaan rakyat,” katanya dalam sidang media di Kuching.

Chong berkata, PH gagal memenuhi jangkaan walaupun berusaha melaksanakan pembaharuan dalam kerajaan.

Beliau dan jawatankuasa negeri kemudian memohon maaf kerana gagal memenuhi jangkaan seperti diharapkan.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab, menyokong apa yang benar dan menentang perkara salah oleh kerajaan hari ini.”

Pada PRN Sarawak lalu, DAP hanya menang dua daripada 24 kerusi ditandingi, manakala PKR tewas di kesemua 28 kerusi ditandingi. Amanah pula yang bertanding di lapan kawasan, gagal meraih sebarang kerusi.

PH membariskan 62 calon membabitkan keseluruhan 82 kerusi. Parti penyandang, GPS, menang di 76 kerusi sekali gus kembali membentuk kerajaan.

Prestasi DAP juga dilihat menurun di Sarawak.

Pada PRN Sarawak 2016, DAP berjaya menguasai tujuh daripada 31 kerusi ditandingi, berbanding menang 12 kerusi pada PRN Sarawak 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.