
Karim, 56, yang dikenakan waran tangkap semalam, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Sabariah Othman.
Dia didakwa mengemukakan satu pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung laporan suku tahunan Serba Dinamik mengenai keputusan kewangan digabungkan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Dis 2020.
Di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA), individu atau syarikat yang didapati membuat pernyataan palsu atau mengelirukan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), bursa atau gedung penjelasan diluluskan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sabariah membenarkan Karim diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan diperintah melaporkan diri kepada pegawai penyiasat mengikut jadual.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan jaminan anda dibatalkan dan ditahan.”
Bagaimanapun Sabariah membenarkan Karim menyimpan pasportnya kerana beliau kerap ke luar negara.
Sabariah turut menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jan depan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen bagi persiapan buat pembelaan Karim.
Semalam, syarikat itu dan tiga eksekutif kanannya turut didakwa dengan kesalahan sama.
Mereka adalah Pengarah Eksekutif, Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi serta Presiden Perakaunan dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.
Sabariah menetapkan ikat jamin RM300,000 bagi setiap seorang dengan dua penjamin, serta mengarahkan mereka menyerahkan pasport.
Tambahan, ketiga-tiga tertuduh itu perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat setiap bulan.
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Abu Bakar Uzir, yang hadir bagi pihak Serba Dinamik mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lalu.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Karim hari ini memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah semalam kerana notis yang diberikan SC terlalu pendek.
“Beliau perlu memberi arahan kepada peguamnya dan kami perlu menjelaskan implikasi undang-undang pertuduhan itu.”
Shafee berkata, waran tangkap itu tidak dilaksanakan kerana beliau telah berjanji membawa Karim ke mahkamah.
“Kami bawanya ke mahkamah hari ini,” katanya sambil menambah beberapa panggilan dibuat kepada Pejabat Peguam Negara dan Perdana Menteri untuk menangguhkan pendakwaan.
Shafee berkata, ini kerana Karim akan menghadiri ekspo perdagangan di Dubai minggu depan untuk menarik pelabur.
Timbalan Pendakwa Raya Zul’aida Zulkifli, yang dibantu Mohd Hafiz Mohd Yusof, mencadangkan jaminan RM2 juta.
Hafiz berkata, waran tangkap itu tidak dilaksanakan atas niat baik pegawai penyiasat, tetapi pihak pendakwan masih mahu mahkamah memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.