
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, berkata bahasa Inggeris penting dalam medium komunikasi dalam apa jua kerjaya diceburi.
“Terutamanya bekerja dalam sektor swasta. Selain bahasa Malaysia, sekiranya kita memberi penekanan terhadap bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah, generasi muda akan berjaya bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya yang juga Pengerusi Yayasan Bena Nusa.
Yayasan berkenaan ditubuhkan bagi mengurangkan kemiskinan bandar dan mempertingkat tahap pendidikan dalam kalangan miskin bandar.

Bercakap pada pelancaran Pembelajaran Bahasa Inggeris Komuniti (CELL) bagi belia di Kampung Pandan, di Kolej SMART, Johari kagum dengan inisiatif menyediakan latihan komputer dan bahasa Inggeris percuma kepada komuniti.
Kolej SMART dengan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), termasuk syarikat khidmat keselamatan menjalin kerjasama melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), demi manfaat belia kurang berkemampuan.
Program terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kendalian kerajaan, dengan pelajar menghadiri kelas dan menerima latihan industri sebenar secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej SMART Anand Pon, berkata pihaknya menyasarkan latihan terbaik diberikan kepada pelajar untuk menjadi kumpulan menyumbang kepada komuniti.

“Bukan sahaja kita mengasah kemahiran mereka berbahasa menerusi latihan teater dan pengucapan awam, bahkan kita turut memberi latihan asas IT, antaranya menunjuk ajar program pengkomputeran.
“Komputer berkenaan diperoleh daripada komuniti sendiri. Sebagai balasan, belia di komuniti ini mendapat latihan percuma,” katanya.
Kolej terbabit sebelum ini berjaya menganjurkan banyak inisiatif CSR seperti ‘SMART-Youth Movement’, ‘SMART-PPR’ dan ‘SMART-CERT’.