Pembayar, majikan terjejas banjir boleh tangguh bayaran cukai

Pembayar, majikan terjejas banjir boleh tangguh bayaran cukai

Tarikh akhir bayaran anggaran cukai kena dibayar bulan ini dilanjutkan sehingga 31 Jan depan, manakala bayaran ansuran siasatan, audit, pungutan, guaman sivil ditangguh sehingga Februari.

Pembayar cukai dan majikan yang terjejas banjir perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran melalui e-mel dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN berserta dokumen sokongan.
KUALA LUMPUR:
Atas dasar prihatin, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi penangguhan bayaran cukai kepada pembayar cukai dan majikan yang terjejas akibat banjir.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan, susulan penangguhan itu, tarikh akhir bayaran anggaran cukai kena dibayar (CP204) bagi bulan ini dilanjutkan sehingga 31 Jan depan, manakala bayaran ansuran siasatan, audit, pungutan, guaman sivil bagi Januari depan ditangguhkan sehingga Februari.

Menurutnya, tarikh akhir bayaran potongan cukai bulanan (PCB) atau CP38 pekerja bagi bulan saraan Disember ini pula dilanjutkan untuk diremit hingga 31 Jan depan berserta bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga suatu tempoh yang dimohon pembayar cukai.

Sementara itu, pembayar cukai dan majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran itu melalui e-mel dan borang maklum balas yang boleh dicapai di portal rasmi LHDN dengan disertakan dokumen sokongan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian “Live Chat” dan borang maklum balas di portal rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.