Kakitangan MBSA enggan tumpangkan kami, kata tukang urut buta

Kakitangan MBSA enggan tumpangkan kami, kata tukang urut buta

Seorang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan mendakwa kakitangan MBSA enggan menumpangkannya ketika cuba menyelamatkan diri dari banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Subramaniam dan Logeswary berada di Kuala Lumpur buat sementara sehingga keadaan lebih selamat untuk pulang ke rumah mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam. (Gambar Subramaniam)
PETALING JAYA:
Banjir yang melanda Selangor dan beberapa negeri lain pada 18 Dis lalu menjadi ujian berganda buat tukang urut cacat penglihatan, Logeswary, 40.

Pusat refleksologi wanita miliknya sterjejas teruk susulan pelaksanaan sekatan penuh susulan pandemik Covid-19 dengan pelanggan semakin berkurangan pada Oktober.

Kini banjir pula memusnahkan perniagaannya. Ketika cuba menyelamatkan diri, dia mendakwa kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) enggan membantunya.

Dia tinggal bersama suaminya, Subramaniam di Taman Sri Muda yang merupakan salah satu kawasan terjejas banjir. Suaminya yang juga cacat penglihatan bekerja sebagai penyambut tetamu di pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur.

Mereka membina pusat refleksologi itu sebaik Logeswary tamat latihannya di MAB dan membelanjakan kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 untuk mengubah suai rumah untuk menerima pelanggan.

Pusat refleksologi yang diusahakan oleh pasangan berkenaan di rumah mereka.

Subramaniam, 42, berkata, rumah mereka memang terdedah kepada banjir sekiranya hujan lebat tetapi tidak menjangkakan keadaan menjadi seteruk itu tahun ini.

“Kami dilanda banjir sebanyak lima kali sejak berpindah pada 2019 namun ia masih terkawal. Kali ini, ia memusnahkan seluruh perniagaan (Logeswary). Seluruh tingkat bawah ditenggelami air. Semua musnah – tilam urut, alat penghawa dingin, perabot, talian telefon dan barangan lain.

“Kira-kira jam 4.30 pagi, sepupu kepada isteri yang bermalam di situ memberitahu air mula naik di kawasan dapur,” katanya.

Pada 11 pagi pula, air sampai ke paras sinki. Selepas menunggu seketika, Loges dan sepupunya keluar mencari tempat perlindungan berhampiran kerana merasakan tiada apa yang mampu dilakukan lagi.

“Mereka terpaksa meredah hujan ke stesen keretapi berhampiran yang terletak 7 kilometer (km) dari rumah. Mereka berasa sangat tidak berdaya,” kata Subramaniam.

Banjir teruk memusnahkan peralatan premis dan perabot di pusat refleksologi.

Ketika itu, kakitangan MBSA melalui kawasan terbabit dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

“Sepupu isteri bertanyakan kepada mereka sama ada boleh menumpangkan kami tetapi salah seorang menjawab ‘kami hanya membantu mereka yang lebih teruk situasinya’ dan beredar.

“Mereka tidak membantu isteri saya walaupun dia adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan buta,”

Subramaniam kesal dengan sikap pegawai tersebut. “Apa yang kerajaan buat? Jika mereka tidak boleh membantu OKU ketika saat kritikal, jadi kenapa wujudnya kerajaan ini?”

Akhirnya, seorang pemandu lori menumpangkan Logeswary dan sepupunya ke hotel berhampiran yang turut ditenggelami air dan terputus bekalan elektrik. Mereka tinggal di situ dan terus ke Kuala Lumpur pada keesokan hari.

Subramaniam berkata, isterinya bukan hanya trauma tetapi bimbang mengenai perniagaannya. “Kami tidak tahu bila dia dapat memulakan semula perniagaannya,” katanya.

Mereka yang mahu membantu pasangan ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun BSN Logeswary, 1415429000119091 (“Logsu Flood Relief”) atau hubungi Subramaniam di talian 016-5605392.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.