
Sangka mereka penduduk telah mendapat bantuan selepas dua bandar yang berada betul-betul di luar Lembah Klang itu hampir ditenggelami banjir sama seperti Shah Alam dan Klang di Selangor.
Kuhan Selva daripada Kolej Sai berkata, apabila beliau dan rakan-rakannya memandu ke kedua-dua bandar di Pahang itu, mereka terkejut melihat jalan raya yang dipenuhi lumpur setebal seinci dan menyukarkan mereka sampai ke kawasan perumahan yang ditujui.
“Dengan bantuan polis, kami dibawa melalui lorong-lorong belakang yang kurang terhalang, itu pun kami tidak dapat memandu jauh,” katanya kepada FMT.

Kuhan dan rakan-rakannya membawa tilam, selimut, bantal, tuala wanita dan lampin pakai buang untuk mangsa banjir.
“Kami ambil sedikit biskut kerana kami ingat mereka (mangsa banjir) cukup makanan. Namun kami diberitahu, peralatan dapur mereka dihanyutkan banjir.

“Semua restoran dan kedai runcit turut ditutup kerana banjir. Mereka tiada makanan,” katanya.
Beliau menggesa sukarelawan supaya menyalurkan lebihan makanan dan bantuan dari pusat pemindahan sementara di Shah Alam dan Klang ke dua bandar itu.

“Kami juga berada di Shah Alam dan Klang dan kami lihat jumlah makanan dan bantuan yang datang. Ini juga boleh dihantar kepada mangsa di Bentong dan Karak,” katanya.
Kuhan berkata, selain kekurangan makanan dan air minuman bersih sejak 18 Dis lepas, penduduk di kedua-dua bandar itu turut mengalami gangguan bekalan elektrik.
Beliau dan rakan-rakannya sempat mengagihkan tilam, bantal dan selimut kepada 300 keluarga, namun jumlah itu tidak sampai ke kawasan kediaman yang lebih kecil.
“Masih ramai yang memerlukan bantuan,” katanya.