6 kolam takungan banjir mahu dibangunkan? Datuk Bandar KL kata siasat dulu dakwaan

6 kolam takungan banjir mahu dibangunkan? Datuk Bandar KL kata siasat dulu dakwaan

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata pihaknya sedang meneliti dakwaan dibangkitkan itu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dalam kenyataan hari ini mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah meluluskan enam kolam takungan banjir di sekitar bandar raya itu untuk tujuan pembangunan.
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyiasat dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur diluluskan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mendedahkan risiko bencana banjir lebih kerap di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah, berkata pihaknya sedang meneliti dakwaan yang dibangkitkan itu.

“Saya dapat membaca kenyataan itu sepintas lalu. Saya perlu semak dan pegawai yang terbabit sudah diminta menyemak perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mahadi mengulas kenyataan Hannah yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam, berhubung enam kolam takungan banjir yang didakwa diluluskan untuk tujuan pembangunan di Kuala Lumpur.

Hannah dalam kenyataan hari ini berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

“Laporan berkenaan turut menyebut perubahan zon guna tanah dan intensiti pembangunan memberi kesan kepada alam sekitar dan pertambahan kepadatan menyebabkan berlaku pengurangan tanah lapang awam, kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur dan kesesakan lalu lintas.

“Kemungkinan pendedahan paling mengejutkan dalam laporan ini ialah enam kolam takungan banjir telah diluluskan untuk tujuan pembangunan. Tukar guna ini bukan sahaja menjejaskan kapasiti kolam takungan banjir, malah merencatkan keseluruhan sistem operasi banjir Kuala Lumpur Flood Mitigation seterusnya mendedahkan Bandar Raya Kuala Lumpur kepada risiko berlakunya bencana banjir yang lebih kerap,” katanya.

Hannah berkata, selain berhempas pulas membersihkan sampah akibat banjir di ibu kota, DBKL perlu menghentikan dan melihat semula bagaimana kelulusan pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan.

“Saya telah membangkitkan semasa persidangan Parlimen baru-baru ini mengenai kurangnya maklum balas daripada SPRM berkenaan laporan dan pendedahan ini.

“Kemusnahan yang disebabkan oleh banjir minggu lepas sepatutnya menyedarkan SPRM dan DBKL untuk mengambil tindakan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.