10 pam sedut ‘banjir termenung’ di Pahang

10 pam sedut ‘banjir termenung’ di Pahang

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang menggunakan pam untuk menyedut keluar air banjir yang masih bergenang di Kuantan, Pekan dan Temerloh.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, jumlah penggunaan pam bergantung kepada keluasan kawasan air yang bertakung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih 10 unit pam digunakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang untuk menyedut keluar air ‘banjir termenung’ di negeri itu.

Pengarahnya, Mohd Noor Bidin berkata, selain Kuantan, daerah lain yang menerima kemudahan itu ialah Pekan dan Temerloh.

“Penggunaan pam dianggap berkesan bagi mengeringkan air yang tidak mengalirkan keluar di empat kampung di daerah ini dan masing-masing satu di Pekan dan Temerloh.

“Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS kini bertungkus lumus menyediakan pam untuk menyedut air di kawasan ‘banjir termenung’. Sekiranya tidak disedut, ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, mereka mendapat bantuan tambahan pam daripada ibu pejabat JPS Malaysia bagi menampung keperluan semasa.

Katanya, jumlah penggunaan pam bergantung kepada keluasan kawasan air yang bertakung.

“Sebagai contoh, sebanyak empat unit pam digunakan di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan di Kuantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.