
Dalam kenyataan semalam, Lee Kim Yew, yang mengasaskan WCEF 12 tahun lalu, menjelaskan forum yang berlangsung hari ini tiada kaitan dengannya.
“Memang benar WCEF pada mulanya diasaskan oleh saya pada 2009 dan forum berkenaan julung kali dianjurkan Palace of Golden Horses yang disokong Michael Yeoh, selepas beberapa tahun.
“Sejak itu, nama forum berkenaan ditukar kepada Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Sedunia (WCES) dan tahun ini ditukar pula kepada GCET.
“Saya mendapat tahu penganjur acara pada 27 Dis menggunakan nama WCEF dan beberapa gambar kami di China yang diambil dua tahun lalu serta menamakannya WCEF ke-11. Ini pasti mengundang kekeliruan,” katanya.
Lee berkata, penganjur sidang kemuncak hari ini sepatutnya tidak menamakan acara itu WCEF ke-11, dan beliau turut mengkritik penganjur kerana mempelawa Najib berucap.
“Mereka menjemput bekas Perdana Menteri, yang disabit bersalah dan sedang menunggu keputusan rayuan, ke forum itu. Namun, saya ingin menjelaskan pendirian saya – kita perlu menghormati badan kehakiman dan mendukung kedaulatan undang-undang di Malaysia.
“Membabitkan beliau dalam WCEF ‘baharu’ ini sangat memalukan bagi saya, apabila ditanya rakan sama ada saya menjemput bekas Perdana Menteri itu merasmikan WCEF ke-11.”
Semalam, GCET dalam kenyataan berkata, organisasi itu tiada kaitan dengan WCEF dan sidang kemuncak hari ini.