Jalan di Kampung Manchis dibanjiri lumpur dan kayu, cerita Ahli Parlimen

Jalan di Kampung Manchis dibanjiri lumpur dan kayu, cerita Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Wong Tack berkata Jalan Manchis di Kampung Manchis, Bentong dibanjiri lumpur dan kayu.

Rumah di Jalan Manchis di Kampung Manchis terjejas dengan banjir lumpur dan kayu, kata Ahli Parlimen Wong Tack. (Gambar Wong Tack)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bentong Wong Tack berkata jalan utama Kampung Manchis di kawasannya dibanjiri lumpur dan kayu yang menyebabkan kemusnahan.

Wong Tack berkata sebahagian besar kampung berdekatan sempadan Pahang dan Negeri Sembilan itu terselamat daripada dilanda banjir besar yang melanda kawasan lain, tetapi rumah-rumah di Jalan Manchis terjejas.

Beliau percaya ia akibat pembersihan hutan di Pahang untuk kegiatan pertanian dan pembalakan.

“Jika kita lihat Jalan Manchis, semua rumah di kawasan itu ranap. Ini bukan banjir biasa,” kata Wong kepada FMT.

Longgokan kayu dibawa banjir menyebabkan kemusnahan di Jalan Manchis. (Gambar Wong Tack)

“Banjir terakhir yang kami alami adalah 50 tahun lalu, pada awal 1970-an. Ketika itu saya masih budak belajar di sekolah rendah di sini.

“Ada berlaku banjir di sini sejak dua tahun lalu. Walaupun tidak teruk, ia disusuli dengan lumpur dan kayu. Mengapa jadi begitu? Ia tidak normal.”

Banjir yang melanda Selangor dan Pahang begitu teruk hinggakan kejadian di beberapa kawasan digambarkan sebagai yang paling teruk sejak 1971. Setakat 2 petang tadi, dilaporkan 25 kematian susulan banjir di Selangor dan 20 di Pahang.

Awal hari ini, Bernama melaporkan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa masih hilang akibat dibawa arus di chalet di Bentong, pada 18 Dis, masih berjalan. Dua mayat sudah dijumpai.

Minggu lalu, Wong mengambil rakaman video banjir melanda Pahang, di Sungai Kerau berdekatan Manchis, yang dipenuhi kayu. Beliau mahukan penjelasan daripada kerajaan negeri dan jabatan perhutanan.

Dalam video itu beliau menyoal dari mana datangnya semua kayu itu.

“Pemimpin perlu telus dan memberi jawapan kepada rakyat,” katanya dalam video berkenaan.

FMT sudah menghubungi Pegawai Daerah Bentong Mohd Zulkifli Hashim dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.