Ibrahim Durum angkat sumpah speaker DUN Melaka

Ibrahim Durum angkat sumpah speaker DUN Melaka

ADUN Rim Khaidirah Abu Zahar pula dilantik sebagai Timbalan Speaker dan beliau merupakan wanita pertama dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

Usul pelantikan Ibrahim Durum diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri manakala lima ADUN berkecuali dan lapan ADUN tidak hadir pada sesi sidang DUN Melaka ke-15. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Bekas Exco kerajaan negeri Melaka Ibrahim Durum mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15.

Usul melantik Ibrahim dikemukakan oleh Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam.

Usul pelantikan Ibrahim diterima selepas mendapat sokongan majoriti 15 daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala lima ADUN berkecuali dan lapan ADUN tidak hadir pada sesi sidang DUN berkenaan.

Sementara itu, ADUN Rim Khaidirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka dan beliau merupakan wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu di Melaka.

Seramai 20 ADUN mengangkat sumpah pada persidangan sidang DUN hari ini, dengan tujuh yang tidak hadir ialah ADUN Ayer Molek Rahmad Mariman, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Duyong), Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai), Rosli Abdullah (Kuala Linggi), Adly Zahari (Bukit Katil), Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

ADUN Bandar Hilir Leng Chau Yen pula tiba lambat dan terlepas sesi mengangkat sumpah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.