
Dalam satu laporan kejadian, Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, banjir kilat melanda Pangsapuri Glen Court di Bandar Sg Long pada 5.19 petang dan Taman Lembah Mewah pada 5.35 petang.
Beliau berkata, berlaku limpahan air dari kolam berhampiran dengan kedalaman satu kaki.
“Bagaimanapun, ia surut sepenuhnya sebaik sahaja pihak bomba tiba di sana,” katanya dalam kenyataan.
Norazam berkata, kejadian kedua di Taman Lembah Mewah setinggi dua kaki pula berpunca daripada hujan lebat dan longkang tersumbat di kawasan terbabit tetapi air semakin surut.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran memberi amaran Sungai Langat di Kajang mencapai tahap berbahaya dan paras air semakin meningkat.
Dalam kenyataan 6.30 petang tadi, ia turut memberi amaran Sungai Langat di Taman West Country, yang terletak berhampiran Bandar Baru Bangi mencapai tahap berbahaya dan semakin meningkat.