‘Arafat tahu kecam saja, tak pandai kerja’, Peja selar tawaran RM1,000 ADUN PKR

‘Arafat tahu kecam saja, tak pandai kerja’, Peja selar tawaran RM1,000 ADUN PKR

Ahmad Faizal Azumu berlepas ke Dubai Rabu lalu tetapi hanya berada di sana 12 jam untuk menemui dua anaknya yang belajar di luar negara selepas tidak bertemu dua tahun kerana Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menyelar tindakan ADUN Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad kerana cuba menimbulkan prasangka tidak berasas.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad sebagai “pandai kecam saja” apabila menawarkan RM1,000 untuk mengesannya dan tiga pemimpin lain ketika banjir menghimpit rakyat.

“Arafat ni tahu kecam saja, tapi tak pandai kerja,” Faizal memberitahu FMT dan menyifatkan ganjaran ditawarkan ADUN PKR itu tidak masuk akal.

“Kalau dia (Arafat) nak bagi orang RM1,000, hari ini saya sudah bersama dengan 130 orang sukarelawan KBS di Sekolah Rendah Islam Integrasi At-Taqwa. (Jadi) suruh dia bersedia dengan RM130,000 untuk beri setiap seorang,” katanya.

Faizal menyelar Arafat kerana cuba menimbulkan prasangka tidak berasas. Beliau berkata, pihak media sepatutnya menyiasat rekod ADUN itu sendiri dalam membantu rakyat, khususnya penduduk di kawasan Hulu Kinta.

“Tanya pula Arafat berapa rumah mangsa banjir yang dia dah cuci? Saya tak cakap kepada semua (penyokong) PKR. Ramai orang PKR baik, saya cakap (ini)…dari hati saya, kita nak buat kerja sahaja sekarang,” katanya.

“(Tetapi) anda turun ke Hulu Kinta. ‘You check’, dia ada buat kerja tak di lapangan. Waktu perintah kawalan pergerakan (PKP), rakyat tak makan, dia ada tak?,” soal Faizal.

Semalam, Arafat menawarkan ganjaran itu untuk mengesan Faizal; Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein; Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang didakwanya “hilang” ketika rakyat menghadapi banjir.

Faizal menjelaskan beliau berlepas ke Dubai Rabu lalu, tetapi hanya berada di bandar raya itu selama 12 jam untuk bertemu dua anaknya yang belajar di luar negara selepas tidak bertemu selama hampir dua tahun kerana Covid-19.

Ahli Parlimen Tambun itu kembali ke Malaysia sebelum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua anggota Jemaah Menteri membatalkan cuti sehingga banjir selesai.

“Awak tahu tak perasaan saya yang dah tak jumpa anak dekat dua tahun. Anak perempuan saya cakap ‘papa, tolong datang jumpa saya’. Saya cakap saya tak boleh pergi UK, kalau boleh jumpa dekat Dubai.

“(Di Dubai) dapat peluk kejap, dapat bagi dia makan-makan, lepas itu saya terus gerak balik (ke KL). Pengorbanan ini yang saya kena buat, tapi balik-balik, saya kena kecam,” kata Faizal.

Faizal menjelaskan dua anaknya menuntut di United Kingdom tetapi beliau mengambil keputusan bertemu mereka di Dubai kerana kes Covid-19 varian Omicron amat tinggi di UK.

Beliau pulang ke Malaysia secepat mungkin. Selain mengadakan mesyuarat maya bagi menggerakkan sukarelawan KBS membantu mangsa banjir, Faizal berkata, beliau turun bersama mereka untuk melakukan kerja pembersihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.