‘Selamat datang PM, saya gerak dulu’, kata ADUN DAP selepas dilarang masuk lokasi gotong-royong

‘Selamat datang PM, saya gerak dulu’, kata ADUN DAP selepas dilarang masuk lokasi gotong-royong

Edry Faizal Eddy Yusof berkata, polis tidak memberi sebarang alasan melarangnya masuk.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata beliau tidak faham mengapa polis tidak membenarkannya masuk ke lokasi acara itu tanpa diberikan sebarang alasan. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof tidak dibenarkan polis memasuki majlis gotong-royong komuniti anjuran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Hulu Langat, hari ini.

Menurut catatan di Twitter, Edry yang juga ADUN DAP kawasan itu berkata, beliau menyambut kedatangan Perdana Menteri atas dasar hormat.

“Tapi pagi ni saya nak masuk ke lokasi, polis tak bagi masuk,” katanya.

“Takpalah, saya pun banyak kerja lain. Selamat datang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Saya gerak dulu.”

Ketika dihubungi Edry memberitahu FMT, beliau tidak faham mengapa polis tidak membenarkannya masuk ke lokasi acara itu tanpa diberikan sebarang alasan.

Katanya, polis meminta orang ramai mengalihkan kenderaan dan memberi laluan bagi kedatangan Perdana Menteri, dan mereka yang tidak menurut arahan ditegur.

“Kami ada di sini sebelum dan semasa air naik,” katanya.

“Polis tiba selepas keadaan menjadi buruk, dan tidak hormat kepada orang ramai (yang ada).”

Beliau mengecam tingkah laku polis dan berkata, penduduk Dusun Tua marah dengan sikap kurang hormat dan usaha membantu mangsa banjir.

Edry berkata, beliau tidak gemar bertemu Perdana Menteri, tetapi dinasihatkan oleh jawatankuasanya pada mesyuarat malam tadi.

“Saya ada banyak kerja nak buat bantu mangsa banjir, tetapi saya luangkan masa untuk sambut Perdana Menteri sebagai tanda hormat,” katanya.

“Paling tidak, polis patut tunjuk hormat pada saya, bukan kerana saya ADUN, tetapi sebagai manusia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.