Walau bertongkat dan berkaki palsu, pemuda OKU gigih bantu mangsa banjir

Walau bertongkat dan berkaki palsu, pemuda OKU gigih bantu mangsa banjir

Zul Muaz yang kehilangan kaki kanan dalam kemalangan, adalah sukarelawan ‘istimewa’ dalam misi membantu mangsa banjir di Lipis, Pahang.

Meskipun bergantung kepada tongkat dan kaki palsu untuk bergerak, Ahmad Zul Muaz, gigih membersihkan rumah mangsa banjir di Lipis, Pahang.
PETALING JAYA:
Derita mangsa banjir khususnya di Pahang yang mula tersebar di dada akhbar sejak Sabtu lalu, menggerakkan hati Zul Muaz untuk turun padang membantu mangsa, walaupun hanya berkaki sebelah.

Meskipun bergantung kepada tongkat dan kaki palsu untuk bergerak, Zul, 21, gigih menjadi petugas barisan depan membersihkan rumah mangsa banjir di Lipis, Pahang.

Status OKU membuatkan beliau menjadi tumpuan orang ramai termasuk mangsa banjir yang dibantunya. Namun, ia tidak sesekali membuat Zul merasa kekok atau malu dengan kekurangan anggota tubuhnya.

Zul Muaz mencuci rumah mangsa banjir di Pahang bersama rakan-rakan sukarelawan Jabatan Amal Malaysia.

“Pergi mana-mana pun orang akan pandang pelik…ialah ada satu kaki, tetapi saya hadapi sahaja, sebab pada saya, itu semua terletak pada diri sendiri. Jika kita ada kemahuan membantu, semuanya boleh tak kisah keadaan anggota kita sempurna atau tidak.

“Saya rasa puas bila dapat tolong orang. Saya tolong setakat yang saya mampu walaupun ada juga terselit rasa ralat tak boleh nak buat macam mana orang lain. Memang ada terlintas kalau sihat macam dulu mesti boleh buat semua benda,” katanya ketika dihubungi FMT.

Zul Muaz membawa sukarelawan dan barangan dengan kenderaan yang diubah suai ke lokasi banjir dan PPS.

Zul kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada 2017 selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lori. Beliau mengakui mengambil masa panjang untuk menghadapi hakikat baharu hidupnya.

“Masa mula memang segan nak keluar rumah, tapi saya cabar diri usaha belajar biasakan diri bergerak guna tongkat dan kaki palsu, saya keluar tolong orang, kalau jatuh itu memang dan banyak kali saya memang dah biasa pun,” ujar Zul.

Zul Muaz membersihkan peralatan rumah mangsa banjir bersama rakan sukarelawan.

Di Lipis, Zul menyertai Jabatan Amal Malaysia, anjuran PAS, untuk membantu ratusan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara setelah rumah mereka digenangi air sejak minggu lalu.

Zul Muaz.

Beliau menawarkan diri untuk membawa sukarelawan dan barangan bantuan, dengan kereta yang diubah suai, ke lokasi banjir dan PPS selain membantu membersihkan rumah mangsa.

Penyelaras Khidmat Malaysia Lipis, Roslan Zainal, berkata lebih 20 rumah, sebuah masjid dan balai raya telah dibersihkan sepanjang dua hari misi bantuan dilancarkan. Bantuan barangan keperluan juga turut disalurkan kepada mangsa.

“Bagi tindakan pasca air surut, agihan barangan keperluan asas berupa makanan dan keperluan peribadi asas dan khidmat cuci akan diusahakan,” katanya.

Hampir 1,000 penduduk membabitkan 309 keluarga terjejas akibat banjir di Lipis setakat ini dan terpaksa dipindahkan ke PPS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.