Sangkut celah batu, penuntut IPTA ditemui lemas

Sangkut celah batu, penuntut IPTA ditemui lemas

Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan-rakan menunggu makanan dipesan melalui penghantar.

Rakan mangsa cuba menyelamatkannya termasuk memberi bantuan pernafasan namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Kegembiraan lima penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bercuti sempena Krismas di kawasan air terjun Bukit Wang, Jitra berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Kejadian berlaku pagi tadi ketika mereka sedang menunggu tempahan makanan yang dipesan melalui penghantar makanan sebelum menyedari salah seorang daripadanya tersangkut di celah batu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.07 tengah hari sebelum sepasukan anggota diketuai Adnan Ahmad bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, rakan mangsa cuba menyelamatkannya termasuk memberi bantuan pernafasan namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba.

“Kami kemudian membantu mengangkat mangsa lemas di kawasan air terjun itu dengan bantuan pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Bustan berkata, mayat mangsa berusia 21 tahun itu kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kawasan rekreasi air terjun Bukit Wang masih ditutup sepenuhnya kepada pengunjung selepas kejadian kepala air bulan lalu yang menyebabkan banjir kilat di sekitar daerah ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.