
Bagi sesetengah mangsa, ia juga dilihat sebagai tempat “melupuskan” kehidupan lalu kerana masa depan yang suram menanti susulan banjir yang meranapkan hidup mereka.
Ketika di temui FMT, Aidil Mohd Yusof, 43, dilihat membuang perabot dan pelbagai barangan elektrik yang musnah apabila rumahnya dinaiki air.
Barangan yang terpaksa dibuang bukan sekadar peralatan atau perabot, tetapi lambang titik peluh dan keringat suami isteri itu dalam membina kehidupan selesa sekeluarga.

“Kalau dulu, ketika belum ada anak, tak apa. Sekarang kita dah ada anak. Jadi merekalah keutamaan kita sekarang. Lama saya dan isteri kumpul duit beli peti ais, mesin basuh dan perabot-perabot ni semua.
“Semua ini nostalgia kami, daripada hanya sebuah peti sehinggalah rumah cukup lengkap. Tapi semua sudah tak ada sekarang,” katanya sambil menunjuk perabot yang dibuangnya.
Sejak Ahad lalu, “bukit sampah perabot” di Taman Perdana akan “dikunjungi” mangsa banjir di Sementa dari pagi untuk membuang harta benda yang musnah akibat banjir.
Kebanyakannnya tiada pilihan kecuali membuang hampir semua perabot dan kelengkapan elektrik, gara-gara banjir yang memenuhi hampir setiap ruang rumah.
Mereka hanya boleh menyimpan kenangan kehidupan lalu sebelum banjir dalam menghadapi masa depan penuh dengan tanda tanya.

Sallehuddin Lop, seorang pesara kerajaan berusia 64 tahun berkata, duit pencen bulanan yang diperolehinya cukup untuk makan minum beliau dan isterinya sahaja.
“Pak cik sudah pencen. Duit pencen bulan-bulan untuk beli makanan dan barang keperluan rumah. Untuk beli perabot baharu, buat masa sekarang, pak cik tak nampak jalan lagi.
“Kita lega banjir sudah surut. Tapi kesan daripada banjir tu, teruk sangat. Tengoklah timbunan sampah perabot ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir di Sementa, Ariffin Mohammad, 44, ketika ditemui sedang membuang perabot, tilam, dan katil yang rosak di “bukit sampah perabot”.
Beliau memilih cara unik untuk membantu mangsa banjir – menolong mereka membuang perabot yang musnah, termasuk menyediakan pengangkutan percuma.
“Perabot saya semua dah selamat dibuang. Sekarang saya bantu secara sukarela mangsa banjir yang nak buang perabot. Bayangkan, dalam taman perumahan ini ada 500 buah rumah, semuanya buang perabot.
“Sebab itu, kita tengok ‘bukit perabot’ bertimbun kat kawasan ini. Bila saya pergi dari rumah ke rumah, semua mengeluh mana nak cari duit nak beli perabot dan barang elektrik semua,” katanya.

Pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkenaan bantuan ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir diharap dapat meringankan beban yang ditanggung.
Namun ramai mengeluh kerana jumlah itu walaupun ditambah dengan bantuan RM1,000 daripada kerajaan negeri jauh daripada memadai.
Muhammad Muiz, 43, yang juga menanggung kerosakan harta benda dalam banjir baru-baru ini berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan mendesak mangsa.
“Kalau ikutkan hati, tak cukup pun. Tapi daripada tak ada, oklah tu. Boleh kita beli keperluan mendesak. Duit nak ganti balik perabot tu semua memang kita kena cari lain, walaupun makan masa setahun atau lebih.
“Kita bersyukur, banjir kita tak seteruk kawan-kawan di Sri Muda sana,” ujarnya.